Khamis, 18 Jun 2009

tuan tanah mungkir janji

Tuan tanah mungkiri janji


SOALAN

SAYA ada seorang kawan baik yang memiliki sebidang tanah dan saya pula pemaju. Kawan saya bersetuju menjual tanah itu kepada saya.
Kami membuat satu surat perjanjian yang disaksikan dua orang dan kami berempat menurunkan tandatangan persetujuan, di mana bayaran untuk harga tanah akan dibayar apabila saya mendapat duit daripada jualan rumah yang dibina.

Kemudian, saya memproses tanah berkenaan kepada enam bahagian supaya dapat mendirikan enam unit rumah. Saya juga membayar kos bayaran proses berkenaan. Saya membina rumah itu secara berperingkat-peringkat kerana kekurangan modal.

Pada peringkat pertama saya membina dua unit rumah, selepas dapat duit jualan saya membayar duit harga tanah yang bernilai dua daripada enam bahagian tanah berkenaan.

Tuan tanah juga setuju menerimanya. Saya membina dua rumah lagi dan apabila mendapat duit jualan saya terus membayar kepada tuan tanah (jumlah menjadi empat daripada enam bahagian, pada ketika itu tuan tanah juga bersetuju menerima bayaran berkenaan).

Seterusnya saya membina lagi dua rumah yang terakhir di tanah berkenaan dan selepas mendapat duit saya membuat bayaran untuk keseluruhan harga tanah.

Malangnya pada pembayaran terakhir, tuan tanah tidak setuju menerima bayaran dengan alasan dia mendapat tahu dalam laporan perjanjian jual beli rumah daripada pembeli rumah menyatakan nilaian tanah yang dibuat oleh penilai melebihi nilai yang dia jualkan kepada saya untuk membangunkan rumah.

Oleh itu, dia menuntut harga bayaran tanah itu dibayar sepertimana yang dinilaikan dalam perjanjian dengan pembeli rumah, dengan alasan saya tidak berhak mengambil keuntungan atas harga tanah itu kerana saya belum lagi membayar duit tanah berkenaan.

Soalan, berdosakah saya jika tidak membayar duit lebihan yang diminta tuan tanah?

Jika tuan tanah mengancam saya dan saya terpaksa membayarnya dengan keadaan tidak rela, adakah halal duit lebihan yang dia makan?

Apakah cara terbaik mengikut lunas Islam harus saya lakukan untuk menyelesaikan masalah ini?

SOBERI
Melaka


JAWAPAN

Dalam Islam, manusia berpegang pada janji. Nabi Muhammad SAW mengingatkan kita mengenai dosa tidak berpegang pada janji yang akan digolongkan sebagai munafik.

Dalam hal ini jika sudah ada perjanjian sebelumnya dan ada saksi, ini bererti tuan dan tuan tanah mesti berpegang pada janji berkenaan.

Urusan secara perundangan boleh diambil jika perjanjian ini sah daripada segi undang-undang. Apa yang terjadi sekarang ialah rasa tidak puas hati tuan tanah kerana merasakan pemaju lebih untung daripadanya.

Bagaimanapun, perlu dilihat juga usaha dan kerja yang dilakukan oleh satu pihak adalah lebih daripada pihak yang lain.

Berdosa atau tidak bergantung kepada perjanjian tuan dan tuan tanah yang sudah dipersetujui. Jika dia bersetuju, tidak wajar ada lagi pertikaian.

Cara terbaik sekarang ialah membawa ke meja perbincangan dengan orang tengah atau saksi terdahulu dan mencari kata sepakat dengan sikap tolak ansur daripada kedua-dua pihak supaya keadilan dan persefahaman dapat ditegakkan.

harian metro-ANDA MUSYKIL DR.MASHITAH JAWAB bersama Datuk Dr Mashitah Ibrahim,

Tiada ulasan:

Catat Ulasan