Khamis, 18 Jun 2009

Status wang bayaran hutang arwah ayah


BAPA saya meninggal dunia 10 tahun lalu dan meninggalkan harta pusaka berserta hutang perniagaan kepada ibu dan saya. Selepas lebih sembilan tahun berusaha, kami berjaya menyelesaikan semua hutang arwah bapa menggunakan harta peninggalannya dan wang simpanan kami.

Baru-baru ini, anak kepada seorang rakan arwah bapa (rakan arwah meninggal dunia lapan tahun lalu) datang menemui saya dan menyatakan arwah bapa beliau pernah berhutang dengan arwah bapa saya dan dia ingin menjelaskan hutang itu.
Beliau menyatakan sebelum ini beliau berdiam diri disebabkan keluarganya tidak mampu membayar.

Wang pembayaran itu saya terima tetapi persoalannya, adakah ia termasuk dalam harta pusaka yang perlu diagih berdasarkan hukum faraid?

Saya dan ibu berpendapat wang berkenaan adalah milik kami sebab harta pusaka arwah bapa tidak cukup untuk membayar hutang perniagaannya. Justeru, kami terpaksa bekerja untuk membayar hutang itu sebelum ini.

Oleh itu bolehkah wang berkenaan dianggap sebagai pampasan untuk hasil pekerjaan kami yang digunakan untuk membayar hutang arwah bapa saya?



SYAHRUL NAZRI

Terengganu



Seorang yang sudah meninggal dunia dan menanggung hutang wajib dilangsaikan hutangnya oleh pewarisnya.

Wang milik simati daripada orang yang pernah berhutang (iaitu hutang dibayar selepas kematian seseorang), maka pewaris perlu mengutamakan pembayaran hutang si mati terlebih dulu.

Jika ada baki selepas ditolak hutang, ia menjadi harta pusaka yang perlu difaraidkan.

Jika tuan dan ibu berpendapat bahawa ketika membayar hutang, wang peninggalan arwah sendiri tidak cukup, bahkan terpaksa ditampung atau didahulukan (menggunakan wang waris), maka wang bayaran hutang yang diterima selepas kematiannya adalah ganti kepada hutang arwah pada tuan dan ibu atau pampasan.

Jika tuan menganggap bayaran hutang dulu adalah sedekah daripada tuan dan ibu, harta yang ada sekarang adalah pusaka yang wajib diagihkan. Segalanya tergantung pada niat sewaktu hutang dilangsaikan.

Untuk tidak menimbulkan masalah, jika tuan dan ibu tidak mahu wang itu difaraidkan, elok dimaklumkan pada pewaris lain supaya tiada yang datang menuntut pula dan menimbulkan salah faham memakan duit harta pusaka.

ANDA MUSYKIL DR.MASHITAH JAWAB

Tiada ulasan:

Catat Ulasan