Selasa, 2 Mac 2010

Rayuan balu pertama Raja Nong Chik ditangguh

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini menangguhkan ke satu tarikh yang belum ditetapkan untuk mendengar rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan keluarga isteri kedua Allahyarham Raja Nong Chik Raja Ishak mencelah dalam kes membabitkan saham dan syarikat ahli perniagaan terkenal itu.

Rayuan itu difailkan isteri pertama jutawan itu, Raja Rajmah Raja Chik dan anak-anaknya Raja Hanipuddin, Raja Sallehudin, Raja Hizaruddin, Raja Taharuddin dan Raja Noraini, serta enam pihak lain.

Enam pihak berkenaan ialah Syarikat Lambang Tenaga Putra Sdn Bhd, Furukawa Electric Cables (M) Sdn Bhd, Shorga Sdn Bhd, Malayan Zips Sdn Bhd, seorang pengarah syarikat Chow Soon Tat dan setiausaha syarikat Chong Fook Sin.

Hakim Besar Malaya Tan Sri Arifin Zakaria yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Hashim Yusoff and Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin membenarkan permohonan penangguhan oleh peguam Robert Low, yang mewakili Shorga, bagi membolehkan mereka membuat penyediaan kes kerana beliau hanya dimaklumkan mengenai tarikh perbicaraan pada 24 Februari lalu.

Pada 8 Mei lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan Jumaaton @ Zaiton Awang dan lima anaknya -- Raja Delila, Raja Norlina, Raja Iskandar, Raja Akhbar dan Raja Yurihana menjadi sebahagian pihak dalam rayuan yang dikemukakan oleh Amanah Raya Berhad (ARB), iaitu pentadbir harta pusaka ahli perniagaan itu.

ARB mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membatalkan saman sivil yang difailkannya terhadap Raja Rajmah dan anak-anaknya.

Rayuan itu masih belum didengar.

Pada April, 2004, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Wahab Patil membatalkan tuntutan saman ARB terhadap balu pertama Allahyarham itu setelah pegawai undang-undang ARB Rafizah Mahadzir menyatakan pihaknya tidak bersedia untuk menjalankan perbicaraan kes itu.

Dalam saman yang difailkan pada Ogos 1998, ARB mendakwa defendan telah secara tidak sah memindah milik lebih dua juta saham syarikat milik Raja Nong Chik selepas kematiannya.

ARB memohon mahkamah mengisytiharkan pemindahan saham-saham berkenaan batal dan tidak sah.

Raja Nong Chik, dikatakan mempunyai kekayaan dan harta bernilai RM16 juta, meninggal dunia pada 10 Februari 1994 tanpa meninggalkan wasiat.

ARB menjadi pentadbir harta pusaka Raja Nong Chik berdasarkan kepada surat kuasa bagi mentadbir harta yang diperoleh daripada Mahkamah Tinggi Malaya, Kuala Lumpur 17 Disember menerusi satu petisyen. - Bernama


Tiada ulasan:

Catat Ulasan