Rabu, 13 Januari 2010

faraid

Kes faraid harta ayah Sharmaine Farouk selesai

SHAH ALAM: Setelah lima tahun, kes permohonan faraid pelakon dan model, Sharmaine Farouk terhadap harta bernilai RM5.4 juta peninggalan ayahnya, Allahyarham Tan Sri Ahmad Farouk Isahak akhirnya selesai dan pihak yang terbabit hanya menunggu Mahkamah Tinggi Syariah di sini mengeluarkan sijil faraid.

Sijil Faraid yang bakal dikeluarkan oleh Hakim Syarie Mohammad Adib Husain akan menentukan bahagian yang berhak diterima setiap waris arwah yang mempunyai enam anak daripada dua perkahwinan.

Tarikh pengeluaran sijil itu bagaimanapun tidak dimaklumkan.

Harta peninggalan arwah yang juga seorang ahli perniagaan adalah dalam bentuk wang tunai, saham, unit amanah, keahlian kelab dan hartanah seperti apartmen, kondominium, rumah serta tanah.

Selain pelakon filem Panggilan Pulau dan XX Ray pada 90-an itu, anak arwah yang lain dengan perkahwinan pertama ialah, Ahmad Ridzuan, 48, Soraya, 46, Ahmad Rezal, 44, Serena, 41 manakala Aimran Ambari, 13, adalah anak daripada perkahwinan kedua.

Sebelum ini, Sharmaine bersama Ahmad Ridzuan, Soraya, Serena dan Aimran Ambari memfailkan permohonan untuk mengesahkan pemberian harta (hibah) bernilai jutaan ringgit dan wasiat dibuat Ahmad Farouk dengan menamakan Ahmad Rezal sebagai defendan.

Ahmad Rezal, anak ketiga daripada enam beradik itu dikatakan tidak bersetuju dengan pemberian harta secara hibah (pemberian semasa hidup atas dasar kasih sayang) dan mendakwa ia sengaja diada-adakan oleh kelima-lima plaintif serta menuntut supaya harta dibahagikan secara faraid.

Arwah ada membuat akuan dan menurunkan cap jari pada surat cara hibah berhubung pemberian harta kepada Ahmad Ridzuan iaitu sebuah rumah di Taman Tun Abdul Razak, Hulu Klang, Kuala Lumpur dan sebidang tanah juga di Hulu Klang.

Proses menandatangani dokumen dibuat di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur di hadapan peguam syarie Zainul Rijal Abu Bakar dan dua saksi lain, ketika Ahmad Farouk dirawat di pusat perubatan berkenaan.

Bagaimanapun, ia telah diselesaikan secara baik dan Sharmaine kemudian memfailkan permohonan pada 15 November tahun lalu agar semua harta peninggalan itu dibahagikan secara faraid. - Bernama

sumber:BH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan