Khamis, 16 Julai 2009

Tanggungjawab penama bahagi harta pusaka

Hak Muslim: Tanggungjawab penama bahagi harta pusaka

Soalan:
BAPA saya sudah meninggal dunia beberapa bulan lalu dan meninggalkan sebuah rumah serta sejumlah wang tunai. Bapa saya meninggalkan seorang isteri, dua anak lelaki dan dua perempuan. Arwah ayah menamakan ibu sebagai penama kepada wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan memiliki polisi insurans yang meletakkan ibu saya sebagai penama. Bagaimana cara untuk melantik pentadbir? Apakah kedudukan wang KWSP dan wang insuran arwah bapa termasuk sebagai harta pusaka?

Hisham,
Klang.

Jawapan:
Peruntukan berkaitan pembahagian harta pusaka dinyatakan dalam firman Allah yang bermaksud: “Orang lelaki ada bahagian pusaka daripada peninggalan ibu bapa dan kerabat. Dan orang perempuan pula ada bahagian daripada peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak harta yang ditinggalkan itu mengikut bahagian ditetapkan (Allah).” - (Surah An-Nisa’, ayat 7)
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Serahkan harta pusaka kepada pemiliknya. Jika ada baki, serahkan kepada kaum keluarga lelaki terdekat.” - (Hadis riwayat Bukhari)

Harta peninggalan hendaklah dibahagikan berdasarkan kepada yang berhak menurut hukum pewarisan dalam Islam selepas ditolak semua hutang termasuk kos penyelenggaraan jenazah dan kos pentadbiran harta pusaka.

Bagi mentadbir harta pusaka, satu Surat Kuasa Mentadbir hendaklah diperoleh daripada Mahkamah Tinggi Sivil bagi harta yang lebih daripada RM600,000 atau melalui Pejabat Tanah di Bahagian Harta Pusaka Kecil bagi harta peninggalan bernilai kurang daripada RM600,000 dengan syarat salah satu daripada harta peninggalan arwah adalah harta tak alih sama ada rumah, tanah kebun atau lain-lain harta seumpama dengannya.

Urusan mendapatkan Surat Mentadbir Harta Pusaka akan menjadi mudah apabila semua waris mempunyai kata sepakat melantik seorang ahli waris sebagai pentadbir kepada harta pusaka si mati .

Kebanyakan kes harta pusaka tertangguh di mahkamah berpunca daripada tiada persetujuan antara waris untuk melantik pentadbir harta pusaka. Pentadbir harta pusaka adalah pemegang amanah atau wasi yang bertanggungjawab mentadbir harta pusaka di mana antara tugasnya ialah memaklumkan kematian kepada pihak berwajib.

Ini termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri, pihak bank di mana arwah mempunyai akaun simpanan, pihak insurans jika ada dan lain-lain pihak berkenaan bagi memastikan kematian si mati dimaklumi untuk diambil tindakan sewajarnya.

Pentadbir juga bertanggungjawab melunaskan hutang si mati dan urusan itu dapat dilakukan selepas waris mendapat kuasa sebagai pentadbir kerana seorang pentadbir berhak mengeluarkan wang simpanan atau mencairkan harta bagi membayar hutang sebelum membahagikan harta pusaka kepada waris yang berhak.

Perlu diingat, kuasa pentadbir adalah tertakluk kepada Akta Probet dan Pentadbiran 1959 dan Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955. Jika berlaku penyelewengan terhadap harta pusaka si mati, pihak tidak berpuas hati boleh memfailkan bantahan bagi melantik pentadbir baru.

Mahkamah Syariah adalah berbidang kuasa seperti diperuntukkan dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri-Negeri bagi menentukan orang yang berhak menurut hukum syarak untuk mendapatkan bahagian daripada harta pusaka si mati dan seterusnya mengeluarkan Sijil Faraid bagi membolehkan pentadbir harta pusaka menjalankan tugas pembahagian harta pusaka.

Memandangkan isteri arwah masih hidup dan mempunyai anak, maka bahagian isteri arwah adalah satu perlapan bahagian tidak termasuk hak harta sepencarian yang wajar ditolak terlebih dulu sebelum harta arwah difaraidkan.

Anak lelaki memperoleh dua kali ganda daripada bahagian anak perempuan. Walaupun arwah menamakan isteri sebagai penama KWSP, penamaan itu tidaklah bermaksud isteri berhak ke atas keseluruhan wang KWSP, sebaliknya penamaan hanyalah sebagai pentadbir bertanggungjawab untuk membahagikan wang berkenaan kepada waris yang berhak.

Ini seperti diputuskan Majlis Fatwa Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia pada 1973, wang KWSP, bank simpanan pejabat pos, bank dan insurans perlu dibahagikan mengikut faraid dan penama adalah orang melaksanakan pembahagian wang mengikut faraid.

Oleh demikian sewajarnya waris berlapang dada dan bersepakat dalam melantik pentadbir bagi mempercepatkan proses pembahagian harta pusaka.

Jawapan disediakan Penolong Setiausaha Agung Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Marlina Amir Hamzah

Rabu, 15 Julai 2009

tipu hak milik tanah

Ibu dapat semula tanah dipindah milik

PUTRAJAYA 14 Julai - Selepas bertahun-tahun menunggu, seorang warga emas akhirnya berjaya mendapatkan kembali tanah peninggalan arwah suaminya yang kini bernilai hampir RM1 juta setelah Mahkamah Rayuan memutuskan hak milik tanah itu dipindahkan kepada anak lelakinya secara penipuan.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Md. Raus Sharif memutuskan demikian ketika menolak rayuan Osman Ahmad, 52, sekali gus mengekalkan penghakiman Mahkamah Tinggi Alor Setar, Kedah yang memutuskan tanah seluas 2.8 hektar di Langkawi itu kekal milik ibunya, Yah Kasim, 75.

Hakim Md. Raus yang bersidang bersama Hakim Datuk Kang Hwee Gee dan Hakim Datuk Sulong Matjeraie turut sebulat suara memerintahkan kos RM10,000 dibayar kepada wanita tersebut.

Jeliha Ahmad, 42, yang hadir bagi pihak ibunya hari ini bersyukur kerana tanah tersebut dikembalikan kepada pemiliknya bagi membolehkan ia dikongsi secara adil dengan adik beradik yang lain.

''Ibu saya menangis ketika dihubungi melalui telefon di Langkawi kerana berjaya memperoleh kembali tanah itu selepas bertahun-tahun menunggu,'' ujarnya ketika ditemui pemberita di pekarangan Istana Kehakiman di sini.

Osman merayu terhadap keputusan Hakim Datuk Mohd. Sofian Abd. Razak pada 10 Mei 2007 yang membenarkan permohonan ibunya bagi mendapatkan semula tanah itu.

Yah dalam pernyataan tuntutannya menyatakan, Osman telah melakukan penipuan bersubahat dengan kerani di Pejabat Tanah Langkawi melalui penyediaan dokumen bagi memindahkan hak milik tanah itu ke atas namanya.

Osman dalam pernyataan pembelaannya pula menyatakan, dia telah menolong bapanya, Ahmad Sirat mengusahakan tanah itu sejak berusia 12 tahun.

Tanah itu yang terletak di Bukit Wang, Mukim Kedawang, Langkawi pada asalnya milik suami wanita itu yang diusahakan untuk bercucuk-tanam.

Selepas kematian suaminya pada tahun 1973, Yah mengusahakannya untuk menyara anak-anak seramai lapan orang sambil berulang ke Pejabat Tanah Langkawi bagi mendapatkan geran.

Bagaimanapun pada 1989, Osman membawa ibunya ke Pejabat Tanah Langkawi atas alasan geran tanah sudah dikeluarkan dan wanita itu perlu menurunkan cap jarinya bagi urusan dokumentasi.

Yah yang merupakan seorang buta huruf kemudian menurunkan cap jari pada sekeping kertas dan proses itu dilakukan di hadapan seorang kerani, bukannya Pentadbir Tanah Langkawi. UM

Lelaki tidak hilang harta jika kahwin

Lelaki tidak hilang harta jika kahwin

SEREMBAN 14 Julai - Adat perpatih di negeri ini dikatakan tidak berasal sepenuhnya daripada adat yang diamalkan di tanah Minangkabau, Sumatera, Indonesia.

Lembaga Luak Ulu Muar, Datuk Seri Maharaja Khalid Bonget (gambar) berkata, adat perpatih Negeri Sembilan merupakan gabungan adat Minangkabau, adat Siak di Sumatera serta adat masyarakat Orang Asli di sini.

Menurut beliau, gabungan elemen tersebut menjadikan adat perpatih amalan masyarakat berketurunan Minangkabau di negeri ini unik.

"Justeru, tanggapan segelintir pihak mengatakan adat perpatih Negeri Sembilan serupa dengan adat Minangkabau adalah kurang tepat," katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika menyampaikan ceramah bertajuk 'Adat Nan Diuca Pakai' pada program Syarahan Negeri Sembilan 2009 di sini kelmarin.

Sementara itu, Khalid memberitahu, sistem pewarisan harta adat perpatih yang memihak kepada kaum wanita sering disalah anggap oleh masyarakat luar.

"Ramai menganggap lelaki yang mengahwini wanita berketurunan negeri ini akan kehilangan segala harta-benda ekoran terpaksa diserahkan kepada isteri.

"Sebaliknya, adat perpatih menggariskan bahawa hanya harta pusaka adat yang diwarisi seseorang wanita kekal menjadi miliknya selepas dia mendirikan rumahtangga," jelas beliau.

Katanya, pembahagian harta sepencarian selepas mendirikan rumah tangga masih tertakluk kepada hukum faraid.

Selain itu, menurut Khalid, anak atau saudara lelaki sewaris berhak memakan hasil dari tanah pusaka yang dikerjakan walaupun dia tidak memilikinya secara adat.

Sehubungan itu, tegas beliau, tanggapan yang mengatakan sistem pewarisan harta adat perpatih memberi ruang kepada kaum wanita mengikis harta suami dan saudara lelaki adalah tidak benar sama sekali. UM