Jumaat, 22 Mei 2015

Ucapkanlah apabila kita terbangun ditengah malam. (aie)

Dengar dan amalkan sahabat .... rugi sangat jika apa yang diajarkan oleh nabi saw ini kita tidak endahkan :) (y)

Posted by Ăîdăh Ýãzîď on 17hb April 2015

Selasa, 18 Oktober 2011

wajib minta kebenaran mahkamah

Wajib minta kebenaran mahkamah

Oleh ADHAM SHADAN
adham.shadan@kosmo.com.my


KOTA BHARU – Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam memerintahkan jutawan syarikat bas Ekspres Mutiara supaya mendapatkan kebenaran bertulis daripada mahkamah terlebih dahulu jika beliau mahu melakukan transaksi terhadap harta sepencarian bersama arwah isterinya bernilai jutaan ringgit yang kini dituntut oleh kesemua 11 orang anaknya.

Keputusan tersebut dibuat oleh Hakim Abu Bakar Abdullah Kutty selepas Che Ibrahim Che Ismail, 56, selaku responden memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak berhasrat untuk menjual, melupus atau memindah milik hartanya dan hal itu diterima baik anak-anaknya.

Abu Bakar dalam penghakimannya berpendapat anak-anak jutawan tersebut yang hadir di mahkamah semalam mempunyai hak dan berkepentingan dalam kes itu.

“Dengan itu, saya arahkan supaya responden kena dapatkan perintah bertulis daripada mahkamah sekiranya mahu menjual, memindah milik atau melupus harta yang dipertikaikan itu,” kata Abu Bakar.

Anak kelima Che Ibrahim iaitu Khairul Anam, 26, yang tampil pada prosiding di mahkamah bersama abang sulung, Khalilullah, 31 bagi mewakili sembilan adik-beradik lain akur dengan keputusan mahkamah itu.

“Kalau bapa saya tidak mempunyai hasrat sebegitu, tidak apalah.

“Tapi saya harap kenyataannya itu direkodkan dan sekiranya bapa saya memungkirinya, tindakan menghina mahkamah boleh dikenakan ke atasnya,” ujar Khairul Anam yang kini merupakan peniaga kecil-kecilan.

Ketika ditanya Abu Bakar apakah pembangunan yang mahu dilakukan akan menjadikan nilai hartanah itu terus bertambah, Che Ibrahim berkata: “Ya diyakini nanti akan terus bertambah.”

Abu Bakar membuat keputusan itu dalam prosiding permohonan anak-anak jutawan berkenaan untuk mendapatkan perintah interim inter parte bagi menghalang responden daripada melakukan sebarang transaksi terhadap harta berkenaan.

Kes induk iaitu saman tuntutan harta sepencarian tersebut akan didengar pada 22 November ini.

Che Ibrahim hadir di mahkamah semalam dan diwakili peguam Alawi Mohd. Rashid.

Sejurus kes tersebut selesai diputuskan, Alawi menyuarakan permohonan anak guamnya di depan hakim supaya mahkamah melarang media daripada membuat liputan terhadap kes itu kerana ia boleh menjejaskan reputasi perniagaan responden.

Pencarum KWSP usah lengah namakan waris

Pencarum KWSP usah lengah namakan waris



KUALA LUMPUR: Semua ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) khususnya mereka yang mempunyai sekurang-kurangnya RM3,000 dalam simpanan perlu menamakan waris simpanan mereka.

KWSP berkata, tanpa penamaan, keluarga atau waris terdekat pencarum yang meninggal dunia terpaksa melalui proses sukar dan memakan masa untuk menuntut simpanan ahli.


“Ahli yang mempunyai sekurang-kurangnya RM3,000 dalam simpanan KWSP dan belum membuat penamaan waris harus menyahut seruan ini segera. “Amaun ini cukup besar untuk disalurkan kepada tanggungan mereka,” kata Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar dalam kenyataan di sini, semalam.

Katanya, proses penamaan waris hanya mengambil masa beberapa minit di mana ahli hanya perlu mengisi Borang KWSP 4 dan menyerahkan kepada cawangan KWSP terdekat.


Menurutnya, penamaan KWSP mengatasi wasiat bertulis dan bagi ahli beragama Islam yang mempunyai penamaan, penama bertindak sebagai pentadbir yang bertanggungjawab mengagihkan simpanan itu mengikut hukum faraid. - Bernama

Jumaat, 21 Mei 2010

Berita Harian Online | Soal Jawab Agama: Pembahagian harta secara ijab kabul hak bapa


Berita Harian Online | Soal Jawab Agama: Pembahagian harta secara ijab kabul hak bapa
BAPA saya pernah berkata, ketika dia sakit, dia telah membahagikan semua harta peninggalannya sama rata kepada semua anak. Katanya lagi, sejumlah wang dalam peti besi tidak boleh diganggu untuk pengurusan jenazah serta majlis tahlil selama 40 hari dan selebihnya untuk disedekahkan. Adakah pembahagian harta oleh bapa saya sah mengikut hukum syarak dan apakah kata-katanya itu boleh dianggap sebagai wasiat atau ada pilihan lain bagi waris.

Warga Indonesia.

Selasa, 2 Mac 2010

Rayuan balu pertama Raja Nong Chik ditangguh

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini menangguhkan ke satu tarikh yang belum ditetapkan untuk mendengar rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan keluarga isteri kedua Allahyarham Raja Nong Chik Raja Ishak mencelah dalam kes membabitkan saham dan syarikat ahli perniagaan terkenal itu.

Rayuan itu difailkan isteri pertama jutawan itu, Raja Rajmah Raja Chik dan anak-anaknya Raja Hanipuddin, Raja Sallehudin, Raja Hizaruddin, Raja Taharuddin dan Raja Noraini, serta enam pihak lain.

Enam pihak berkenaan ialah Syarikat Lambang Tenaga Putra Sdn Bhd, Furukawa Electric Cables (M) Sdn Bhd, Shorga Sdn Bhd, Malayan Zips Sdn Bhd, seorang pengarah syarikat Chow Soon Tat dan setiausaha syarikat Chong Fook Sin.

Hakim Besar Malaya Tan Sri Arifin Zakaria yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Hashim Yusoff and Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin membenarkan permohonan penangguhan oleh peguam Robert Low, yang mewakili Shorga, bagi membolehkan mereka membuat penyediaan kes kerana beliau hanya dimaklumkan mengenai tarikh perbicaraan pada 24 Februari lalu.

Pada 8 Mei lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan Jumaaton @ Zaiton Awang dan lima anaknya -- Raja Delila, Raja Norlina, Raja Iskandar, Raja Akhbar dan Raja Yurihana menjadi sebahagian pihak dalam rayuan yang dikemukakan oleh Amanah Raya Berhad (ARB), iaitu pentadbir harta pusaka ahli perniagaan itu.

ARB mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membatalkan saman sivil yang difailkannya terhadap Raja Rajmah dan anak-anaknya.

Rayuan itu masih belum didengar.

Pada April, 2004, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Wahab Patil membatalkan tuntutan saman ARB terhadap balu pertama Allahyarham itu setelah pegawai undang-undang ARB Rafizah Mahadzir menyatakan pihaknya tidak bersedia untuk menjalankan perbicaraan kes itu.

Dalam saman yang difailkan pada Ogos 1998, ARB mendakwa defendan telah secara tidak sah memindah milik lebih dua juta saham syarikat milik Raja Nong Chik selepas kematiannya.

ARB memohon mahkamah mengisytiharkan pemindahan saham-saham berkenaan batal dan tidak sah.

Raja Nong Chik, dikatakan mempunyai kekayaan dan harta bernilai RM16 juta, meninggal dunia pada 10 Februari 1994 tanpa meninggalkan wasiat.

ARB menjadi pentadbir harta pusaka Raja Nong Chik berdasarkan kepada surat kuasa bagi mentadbir harta yang diperoleh daripada Mahkamah Tinggi Malaya, Kuala Lumpur 17 Disember menerusi satu petisyen. - Bernama


Jumaat, 22 Januari 2010

penipuan pindah milik tanah

Mahkamah Persekutuan sekat pemindahan tanah secara penipuan

PUTRAJAYA 21 Jan. - Kepentingan pemilik asal tanah kini terjamin berikutan keputusan bersejarah Mahkamah Persekutuan hari ini yang menyekat aktiviti pemindahan hak milik tanah melalui penipuan dan pemalsuan dokumen daripada berleluasa.

Keputusan yang menjadi nas undang-undang itu turut memberi kesan bahawa hak milik pembeli tanah kini boleh disangkal jika terbukti wujud unsur-unsur penipuan dalam urusan pemindahan kepada pihak lain meskipun harta itu dibeli atas niat baik.

Panel lima hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi memutuskan demikian sebulat suara ketika membenarkan dengan kos rayuan kes pajakan tanah melibatkan ahli perniagaan, Tan Ying Hong selaku perayu dan tiga responden.

Keputusan hari ini menyimpang daripada satu lagi penghakiman kontroversi Mahkamah Persekutuan sembilan tahun lalu melibatkan Adorna Properties Sdn. Bhd. melawan Boonsom Boonyanit @ Sun Yok Eng.

Hakim Zaki dalam penghakiman bertulisnya menyatakan, beliau bertanggungjawab menjelaskan semula undang-undang tersebut kerana kesilapan yang dilakukan dalam kes Adorna Properties sangat ketara.

''Umum mengetahui terdapat pihak-pihak yang tidak berperikemanusiaan mengambil kesempatan terhadap kesilapan penghakiman itu dengan memindahkan hak milik tanah secara penipuan,'' ujarnya.

Sehubungan itu, Hakim Zaki berharap Pejabat Tanah dan Galian akan lebih berwaspada apabila mendaftarkan proses pemindahan hak milik tanah.

Turut bersidang ialah Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd. Sheriff, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin serta Datuk James Foong Cheng Yuen.

Pada 27 Ogos 2001, panel tiga hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara (ketika itu) Tun Eusoff Chin memutuskan Adorna Properties berhak memperoleh hak milik tanah di Tanjung Bunga, Pulau Pinang bernilai RM12 juta walaupun berlaku penipuan kerana ia dibeli atas niat baik (bona fide).

Penghakiman itu turut memutuskan pembeli tanah merupakan pemilik yang sah asalkan ia dibeli atas niat baik walaupun berlaku penipuan dan pemalsuan dokumen dalam urusan pemindahannya.

Ia disifatkan salah di sisi undang-undang oleh para peguam dan golongan akademik selain dikritik hebat kerana ia membuka ruang kepada tanah dipindah milik sewenang-wenangnya melalui penipuan.

Kes itu dikemukakan oleh seorang ahli perniagaan warga Thailand, Kobchai Sosothikul setelah tidak berpuas hati dengan pembelian tanah ibunya itu oleh Adorna Properties.

Sementara itu, Hakim Arifin dalam penghakiman bertulisnya berpendapat, Mahkamah Persekutuan terdahulu tersilap mentafsir Seksyen 340(1), (2) dan (3) Kanun Tanah Negara sehingga membuat keputusan yang salah dalam kes Adorna Properties.

Beliau berpendapat, panel terdahulu tersilap ketika memutuskan pembeli tanah berdaftar layak memperoleh hak milik mutlak serta merta walaupun wujud penipuan dalam dokumen pemindahan tanah.

Dalam rayuan hari ini pula, pihak responden terdiri daripada Tan Sian San, Cini Timber Industries Sdn. Bhd. dan United Malayan Banking Corporation Berhad (UMBC).

sumber:UM

Rabu, 13 Januari 2010

faraid

Kes faraid harta ayah Sharmaine Farouk selesai

SHAH ALAM: Setelah lima tahun, kes permohonan faraid pelakon dan model, Sharmaine Farouk terhadap harta bernilai RM5.4 juta peninggalan ayahnya, Allahyarham Tan Sri Ahmad Farouk Isahak akhirnya selesai dan pihak yang terbabit hanya menunggu Mahkamah Tinggi Syariah di sini mengeluarkan sijil faraid.

Sijil Faraid yang bakal dikeluarkan oleh Hakim Syarie Mohammad Adib Husain akan menentukan bahagian yang berhak diterima setiap waris arwah yang mempunyai enam anak daripada dua perkahwinan.

Tarikh pengeluaran sijil itu bagaimanapun tidak dimaklumkan.

Harta peninggalan arwah yang juga seorang ahli perniagaan adalah dalam bentuk wang tunai, saham, unit amanah, keahlian kelab dan hartanah seperti apartmen, kondominium, rumah serta tanah.

Selain pelakon filem Panggilan Pulau dan XX Ray pada 90-an itu, anak arwah yang lain dengan perkahwinan pertama ialah, Ahmad Ridzuan, 48, Soraya, 46, Ahmad Rezal, 44, Serena, 41 manakala Aimran Ambari, 13, adalah anak daripada perkahwinan kedua.

Sebelum ini, Sharmaine bersama Ahmad Ridzuan, Soraya, Serena dan Aimran Ambari memfailkan permohonan untuk mengesahkan pemberian harta (hibah) bernilai jutaan ringgit dan wasiat dibuat Ahmad Farouk dengan menamakan Ahmad Rezal sebagai defendan.

Ahmad Rezal, anak ketiga daripada enam beradik itu dikatakan tidak bersetuju dengan pemberian harta secara hibah (pemberian semasa hidup atas dasar kasih sayang) dan mendakwa ia sengaja diada-adakan oleh kelima-lima plaintif serta menuntut supaya harta dibahagikan secara faraid.

Arwah ada membuat akuan dan menurunkan cap jari pada surat cara hibah berhubung pemberian harta kepada Ahmad Ridzuan iaitu sebuah rumah di Taman Tun Abdul Razak, Hulu Klang, Kuala Lumpur dan sebidang tanah juga di Hulu Klang.

Proses menandatangani dokumen dibuat di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur di hadapan peguam syarie Zainul Rijal Abu Bakar dan dua saksi lain, ketika Ahmad Farouk dirawat di pusat perubatan berkenaan.

Bagaimanapun, ia telah diselesaikan secara baik dan Sharmaine kemudian memfailkan permohonan pada 15 November tahun lalu agar semua harta peninggalan itu dibahagikan secara faraid. - Bernama

sumber:BH